DUNIA
Penamatan perang bergantung kepada Israel hentikan serangan udara tanpa syarat - Iran

Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa "kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindak balas yang jauh lebih keras dan dikesali daripada Iran." - Gambar fail/Iran's presidential website/WANA
ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Jumaat bahawa satu-satunya jalan untuk menamatkan perang semasa ialah Israel menghentikan serangan udaranya tanpa sebarang syarat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami sentiasa mendukung keamanan dan kestabilan," kata Pezeshkian dalam satu kenyataan, menurut laporan media Iran.
Beliau menegaskan bahawa "dalam keadaan semasa, keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya Zionis menghentikan permusuhan dan memberikan jaminan kukuh untuk menamatkan provokasi keganasan mereka."
Presiden itu turut memberi amaran bahawa "kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindak balas yang jauh lebih keras dan dikesali daripada Iran."Persengketaan tercetus pada Jumaat lepas apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, sekali gus mencetuskan serangan balas oleh Tehran.
Kedua-dua pihak melaporkan kematian dan kecederaan dalam siri serangan udara yang masih berterusan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami