BEKAS presiden Amerika Syarikat Donald Trump menempelak tindakan Joe Biden dalam menangani penarikan keluar tentera negaranya dari Afghanistan.

Kata Trump, penarikan tentera yang tergesa-gesa mengakibatkan wujudnya suasana kacau bilau apabila ribuan warga Afghanistan bergegas keluar dari Kabul selepas kemenangan mudah Taliban.

Jelas Trump, Biden meneruskan rancangannya mengeluarkan tentera Amerika dari Afghanistan, tetapi melakukannya dengan teruk sekali.

Sebelum ini, kata Trump, beliau telah mengadakan rundingan dengan pemimpin Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar yang memainkan peranan penting dalam perjanjian damai dengan pentadbirannya.

"Saya telah berbual dan berbincang dengan Mullah Baradar, yang mungkin merupakan orang paling atasan mereka.

"Saya tanya kepadanya, adakah anda faham? Dia berkata, ya, saya faham. Dan saya mahu mereka buat satu perjanjian dengan pemerintah Afghanistan.

"Bagus kita dapat keluar, tetapi tiada siapa yang menangani penarikan diri yang lebih teruk daripada Joe Biden.

"Ini sangat memalukan, saya percaya, yang paling memalukan dalam sejarah negara kita," kata Trump ketika ditemu bual Fox News. 

Baru-baru ini, Biden mempertahankan tindakannya mengundurkan tentera negara itu dari Afghanistan.

Sesetengah pihak mendakwa tindakan beliau itu membolehkan kumpulan tegar Taliban dengan pantas menguasai Afghanistan.

Biden bagaimanapun berkata, kehadiran langsung atau sebaliknya tentera Amerika di Afghanistan, selepas kira-kira 20 tahun berada di bumi itu, tidak akan mendatangkan sebarang perbezaan.