SINGAPURA: Jumlah penduduk Singapura meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun kepada 6.21 juta setakat Jun 2026 berbanding 6.11 juta pada tahun sebelumnya, menurut Bahagian Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD).
Dalam laporan Population in Brief 2026 yang dikeluarkan pada Jumaat, NPTD memaklumkan jumlah warganegara meningkat 0.7 peratus kepada 3.68 juta pada Jun 2026 daripada 3.66 juta pada tahun sebelumnya, manakala jumlah penduduk tetap kekal secara relatif stabil pada 0.55 juta.
“Jumlah penduduk bukan pemastautin ialah 1.98 juta pada Jun 2026, meningkat 3.7 peratus berbanding Jun 2025,” menurut NPTD.
Laporan itu menunjukkan peningkatan jumlah penduduk terutama disumbangkan oleh pertambahan penduduk bukan pemastautin, khususnya peningkatan bilangan pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan.
Pertambahan itu bagi menyokong projek utama seperti Terminal 5 Changi, peluasan Marina Bay Sands serta peningkatan bekalan perumahan dan pembangunan infrastruktur pengangkutan lain, menurut laporan berkenaan.
Sementara itu, NPTD memaklumkan sebanyak 26,071 kelahiran warganegara direkodkan pada 2025, turun 10.8 peratus daripada 29,237 pada 2024.
Selain itu, 21,671 perkahwinan dalam kalangan warganegara didaftarkan pada 2025, turun 5.6 peratus berbanding 22,955 pada 2024.
Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) dalam kalangan penduduk ialah 0.87 pada 2025, menurun daripada 0.97 pada 2024.
-- BERNAMA