PARIS: Sebuah pesawat Eurowings yang dalam penerbangan dari Cologne, Jerman, ke Pulau Mallorca di Sepanyol melakukan pendaratan tidak berjadual di Paris pada petang Sabtu selepas wap dikesan keluar dari dapur pesawat, kata syarikat penerbangan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pesawat Boeing 737 itu membawa 131 penumpang. Menurut Eurowings, pendaratan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam status keutamaan penerbangan "normal".
"Keselamatan penumpang dan kru tidak pernah terjejas pada bila-bila masa," kata Jurucakap Eurowings pada Ahad.
Penumpang penerbangan EW590 ditawarkan penginapan hotel serta pengangkutan dan sedang dijadual semula untuk menaiki penerbangan seterusnya yang ada, kata jurucakap itu.
-- BERNAMA-dpa