Skip to main content

Dunia

Pengarah Hollywood dipenjara dua tahun enam bulan kerana menipu Netflix AS$11 juta

Carl Rinsch
Hakim turut mengarahkan Rinsch menjalani tiga tahun pengawasan selepas dibebaskan, melucut hak wang berjumlah AS$11 juta serta membayar denda AS$700. - Foto X/ Popped
Advertisement

NEW YORK: Pengarah Hollywood, Carl Erik Rinsch, dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah menipu platform penstriman Netflix sebanyak AS$11 juta (kira-kira RM55 juta) yang sepatutnya digunakan untuk menyiapkan sebuah siri fiksyen sains yang tidak pernah disiapkan.

Rinsch, 48, yang terkenal menerusi filem 47 Ronin lakonan Keanu Reeves pada 2013, disabitkan kesalahan pada Disember lalu atas tuduhan penipuan persekutuan dan pengubahan wang haram.

Hakim Persekutuan, Jed Rakoff, turut mengarahkan Rinsch menjalani tiga tahun pengawasan selepas dibebaskan, melucut hak wang berjumlah AS$11 juta serta membayar denda AS$700.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Rinsch memohon maaf kepada mahkamah dan mengakui bertanggungjawab atas tindakannya.

“Saya mengakui bahawa kemudaratan sebenar telah berlaku,” katanya, sambil menjelaskan bahawa beliau gagal menyedari kesan daripada keadaan dirinya pada ketika itu.

Pendakwa raya Amerika Syarikat, Jay Clayton, berkata hukuman tersebut memberi mesej jelas bahawa penipuan tidak akan diterima.

“Hukuman hari ini menghantar mesej pencegahan bahawa penipuan tidak akan diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pihak pendakwaan, Netflix telah membayar kira-kira AS$55 juta bagi projek siri fiksyen sains berjudul White Horse, termasuk tambahan AS$11 juta yang diminta Rinsch dengan alasan ia diperlukan untuk menyiapkan produksi tersebut.

Bagaimanapun, wang itu tidak digunakan untuk menyiapkan siri berkenaan.

Sebaliknya, Rinsch memindahkan dana ke akaun peribadinya dan membuat pelaburan berisiko dalam pasaran saham serta mata wang kripto, menyebabkan lebih separuh daripada wang tersebut hilang dalam tempoh singkat.

Pihak pendakwa turut mendedahkan bahawa beliau membelanjakan jutaan dolar untuk membeli barangan mewah termasuk kereta Rolls-Royce, jam tangan, pakaian mahal, perabot antik dan tilam bernilai ratusan ribu dolar.

Sepanjang perbicaraan selama seminggu di New York, beberapa eksekutif Netflix memberi keterangan bahawa syarikat itu hanya meluluskan satu musim siri berkenaan, namun Rinsch gagal menyerahkan produk akhir seperti yang dijanjikan.

Rinsch yang memilih untuk memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri, sesuatu yang jarang dilakukan dalam kes jenayah, mendakwa berlaku salah faham dan beliau percaya wang itu bertujuan memastikan projek tersebut dapat diteruskan sepanjang tempoh pandemik COVI-19.

Media AS turut melaporkan bahawa beberapa rakan dan rakan sekerjanya menyifatkan tingkah laku Rinsch semakin tidak menentu selepas menandatangani perjanjian dengan Netflix.

Antara dakwaan yang dilaporkan ialah kepercayaannya bahawa beliau mampu meramalkan sambaran petir dan letusan gunung berapi serta mengetahui mekanisme rahsia penyebaran COVID-19.

Walaupun berdepan hukuman maksimum sehingga 90 tahun penjara, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman yang jauh lebih ringan daripada yang diminta pendakwa raya, yang memohon hukuman penjara selama lima tahun. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement