WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden akan mengeluarkan laporan kajian mengenai pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan pada bulan depan dan akan diserahkan kepada Kongres, kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Rabu.

"Saya komited dan mahu menyerahkan maklumat itu kepada Kongres menjelang pertengahan April.

"Kami akan berkongsi hasil kajian dan mencari mekanisme yang sesuai untuk melakukannya dalam tempoh tiga minggu akan datang," lapor Agensi Anadolu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih John Kirby memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa pentadbiran menjangkakan agensi yang menjalankan kajian itu akan berkongsi laporan itu dengan jawatankuasa pengawasan kongres yang berkaitan pada pertengahan April.

Ahli parlimen Republikan menuduh Presiden Joe Biden "gagal" dalam menguruskan mengenai pengunduran tentera AS dari Afghanistan serta huru-hara yang berlaku di lapangan terbang Kabul pada Ogos 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Michael McCaul menghantar surat kepada Blinken pada Selasa menuntut Jabatan Negara mengeluarkan dokumen itu sebelum dikemukakan kepada Senat.

"Kegagalan untuk mengemukakan dokumen ini akan menyebabkan Jawatankuasa mengeluarkan sepina untuk memaksa laporan kajian itu dikemukakan," menurut McCaul.

-- BERNAMA