WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden telah mengarahkan semua agensi persekutuan negara itu melantik seorang ketua pegawai Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyelia semua teknologi berkaitan, menurut Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, lapor Sputnik.

"Kami telah mengarahkan semua agensi persekutuan untuk melantik ketua pegawai AI yang mempunyai pengalaman, kepakaran dan kuasa untuk menyelia semua ... teknologi AI yang digunakan oleh agensi itu.

Ini adalah untuk memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab," kata Harris.

Naib Presiden berkata arahan itu adalah satu daripada tiga keperluan mandatori baharu yang diumumkan oleh pentadbiran Biden untuk menjamin penggunaan AI yang selamat, terjamin dan bertanggungjawab dalam agensi persekutuan AS.

Menurut beliau, satu daripada keperluan itu akan memastikan bahawa agensi persekutuan harus membuktikan bahawa alat AI yang mereka gunakan tidak membahayakan hak atau keselamatan rakyat Amerika.

Beliau berkata ini termasuk, sebagai contoh mana-mana alat AI tidak menghasilkan keputusan berat sebelah berdasarkan warna kulit.

Menurut Harris, keperluan ketiga berkaitan dengan ketelusan sambil menambah bahawa rakyat Amerika mempunyai hak untuk mengetahui bahawa teknologi AI "sedang digunakan, dengan cara yang bertanggungjawab."

Beliau berkata untuk meningkatkan ketelusan, pentadbiran Biden akan mewajibkan agensi persekutuan AS menghasilkan penerbitan dalam talian tahunan yang memperincikan semua sistem AI mereka, termasuk penilaian risiko dan strategi pengurusan.

Naib Presiden berkata AS akan terus mendesak semua negara untuk mengutamakan kepentingan awam dalam penggunaan teknologi AI oleh kerajaan mereka.

--BERNAMA-SPUTNIK