Ringkasan AI
- Jabatan Pembangunan Wanita melaksanakan 144 program pencegahan keganasan dan diskriminasi, memberi manfaat kepada 37,774 peserta sepanjang tahun ini.
- Inisiatif termasuk advokasi, sokongan psikososial, perkhidmatan PRISMAnita, serta kerjasama dengan PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelbagai agensi lain.
- Statistik PDRM merekodkan 5,862 kes keganasan rumah tangga dari Januari hingga September, dengan 4,411 mangsa adalah wanita.
KUALA LUMPUR: Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan 144 program dan kempen pencegahan keganasan serta diskriminasi di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 37,774 peserta sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi JPW dalam memperkukuh advokasi, intervensi awal dan sokongan kepada wanita yang berhadapan dengan keganasan.
“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal keganasan, malah memastikan golongan berkenaan mengetahui hak serta saluran bantuan yang tersedia.
“Usaha membanteras keganasan tidak boleh diletakkan di bahu mangsa semata-mata, sebaliknya kerajaan, keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wanita dilindungi serta mendapat bantuan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2026 anjuran KPWKM di sini pada Rabu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan JPW adalah Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita berkaitan Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) bagi membantu masyarakat mengenali tanda-tanda awal keganasan, memahami hak serta mengetahui mekanisme perlindungan yang disediakan.
Selain itu, Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) yang dilancarkan pada 20 Ogos turut memberi penekanan kepada sokongan psikososial bagi membantu pemandiri membina semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan.
Lim berkata JPW turut menyediakan perkhidmatan menerusi PRISMAnita yang merangkumi maklumat, saringan awal, nasihat, sokongan psikososial serta rujukan kepada agensi atau pakar bersesuaian.
Beliau berkata usaha itu turut dilengkapi pelaksanaan program IRIS, MATAHARI dan Skuad WAJA melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bantuan Guaman serta pertubuhan bukan kerajaan.
Pada sambutan itu, beliau turut melancarkan Ikrar Digital: Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita sebagai komitmen bersama-sama masyarakat untuk menolak sebarang bentuk keganasan, termasuk penderaan fizikal, emosi, seksual dan kewangan.
Lim berkata toleransi sifar bukan sekadar komitmen di atas kertas atau paparan digital, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan seharian seperti tidak menyalahkan mangsa, tidak menggunakan ugutan untuk mengawal pasangan dan tidak berdiam diri apabila mengetahui berlakunya penderaan.
Dalam pada itu, beliau berkata statistik PDRM merekodkan 5,862 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan 4,411 mangsa terdiri daripada wanita.
Sambutan EVAW 2026 turut diserikan dengan pelaksanaan Kempen Orange the Nation menerusi pencahayaan berwarna oren di Menara Kuala Lumpur sebagai simbol harapan terhadap masa depan yang lebih selamat dan bebas daripada keganasan.
Kempen itu adalah sebahagian daripada Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang berlangsung hingga 10 Dis.
-- BERNAMA