Ringkasan AI
- MEF menegaskan majikan perlu membuktikan keperluan sebenar dan usaha menggaji pekerja tempatan sebelum mengambil pelarian yang layak sebagai pekerja.
- Pengambilan pelarian perlu dikawal selia dengan syarat jelas, keutamaan pasaran buruh negara, serta kekal di bawah kuasa dan penyelarasan kerajaan Malaysia.
- MEF menggesa majikan ekspatriat menyediakan pelan penggantian tenaga kerja tempatan, termasuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan kemahiran secara berterusan.
KUALA LUMPUR: Majikan perlu membuktikan terdapat keperluan sebenar terhadap tenaga kerja, selain menunjukkan usaha untuk menggaji pekerja tempatan sebelum menerima kelulusan untuk mengambil pelarian yang memenuhi syarat kelayakan sebagai pekerja, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata persekutuan itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelarian yang mempunyai kemahiran khusus atau kepakaran yang tidak dimiliki rakyat Malaysia boleh dipertimbangkan untuk bekerja berdasarkan kes mengikut kes.
“Rakyat Malaysia mesti sentiasa diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang tersedia di negara ini merentasi semua sektor dan bidang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata sumber tenaga kerja alternatif, termasuk pelarian yang memenuhi syarat kelayakan, hanya wajar dipertimbangkan sekiranya kekosongan sebenar masih tidak dapat diisi berikutan ketiadaan pekerja tempatan untuk mengisi jawatan berkenaan, atau apabila kemahiran dan kepakaran yang diperlukan tidak dapat diperoleh dalam negara.
MEF memaklumkan pengambilan pekerja dalam kalangan pelarian perlu dikawal selia dengan teliti menerusi syarat yang jelas, berpandukan keutamaan pasaran buruh negara, pertimbangan keselamatan serta kepentingan ekonomi Malaysia bagi memberikan kepastian kepada majikan, melindungi pekerja tempatan serta membendung pekerjaan tanpa dokumen, eksploitasi dan amalan pengambilan pekerja yang tidak teratur.
Syed Hussain berkata pendaftaran, pengenalpastian, tapisan dan pemberian kebenaran bekerja kepada pelarian perlu kekal di bawah kuasa serta penyelarasan Kerajaan Malaysia menerusi sistem berpusat yang mempunyai akauntabiliti.
“Dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada pendaftaran oleh kerajaan atau kebenaran untuk bekerja di Malaysia,” katanya.
Mengenai penggajian ekspatriat, Syed Hussain berkata Malaysia perlu terus terbuka kepada kemasukan tenaga kerja antarabangsa yang mempunyai kepakaran khusus bagi menyokong operasi perniagaan, projek pelaburan, pembangunan teknologi dan perniagaan baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata ekspatriat dan pelarian merupakan dua kategori berbeza yang memerlukan pertimbangan dasar berlainan dan penggajian ekspatriat perlu disertai komitmen yang jelas untuk membangunkan keupayaan tenaga kerja tempatan.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada kepakaran yang diimport untuk jangka panjang sedangkan matlamat kita sepatutnya adalah untuk membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mantap,” katanya.
MEF menggesa majikan yang menggaji ekspatriat agar mengemukakan pelan penggantian dan penyetempatan tenaga kerja meyakinkan, merangkumi pemindahan pengetahuan dan teknologi, bimbingan serta pembangunan kemahiran berterusan, dengan kemajuan dinilai semasa pembaharuan pas penggajian berdasarkan sifat jawatan, ketersediaan bakat tempatan dan pencapaian mengikut pelan pembangunan yang diluluskan.
“Sebelum memohon pembaharuan, majikan seharusnya dapat menunjukkan kemajuan yang bermakna dalam melatih pekerja tempatan, memindahkan pengetahuan dan menyediakan pengganti dalam kalangan rakyat Malaysia yang sesuai, tertakluk kepada ketersediaan kemahiran yang diperlukan serta tempoh pembangunan yang munasabah,” katanya.
-- BERNAMA