Skip to main content

Dunia

Pentagon guna Grok untuk lakukan 2,000 serangan di Iran

The Pentagon logo is seen behind the podium in the briefing room at the Pentagon in Arlington, Virginia, U.S., January 8, 2020. REUTERS/Al Drago/File Photo
Menurut pegawai kanan AI Pentagon, sistem berkenaan digunakan dalam platform sokongan operasi bagi membantu analisis data serta pengenalpastian sasaran, sekali gus membolehkan pasukan tentera melaksanakan serangan terhadap lebih 2,000 sasaran dalam tempoh 96 jam. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) mengesahkan penggunaan model kecerdasan buatan (AI) daripada syarikat xAI, Grok, bagi menyokong operasi ketenteraan semasa kemuncak krisis Asia Barat baru-baru ini, lapor Independent.

Menurut pegawai kanan AI Pentagon, sistem berkenaan digunakan dalam platform sokongan operasi bagi membantu analisis data serta pengenalpastian sasaran, sekali gus membolehkan pasukan tentera melaksanakan serangan terhadap lebih 2,000 sasaran dalam tempoh 96 jam.

Pentagon bagaimanapun menegaskan penggunaan AI tersebut terhad sebagai sistem sokongan, manakala keputusan operasi termasuk pemilihan sasaran dan pelaksanaan serangan kekal di bawah pengawasan serta kelulusan manusia.

Pendedahan mengenai penglibatan Grok dalam operasi ketenteraan dibuat susulan tindakan undang-undang oleh Persatuan Kebangsaan untuk Kemajuan Orang Kulit Hitam (NAACP) terhadap xAI.

Saman itu mendakwa syarikat berkenaan mengendalikan puluhan turbin gas tanpa permit sah bagi menjana tenaga untuk pusat data AI, selain menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar di kawasan komuniti setempat di Mississippi.

Dalam hujah pembelaannya, Pentagon menegaskan keupayaan pusat data xAI adalah kritikal kepada keselamatan negara, termasuk sebagai sokongan kepada sistem operasi ketenteraan moden berasaskan AI.

Agensi itu turut memohon pengecualian bagi membolehkan infrastruktur tersebut terus beroperasi tanpa gangguan undang-undang domestik.

Perkembangan itu mencetuskan perdebatan lebih meluas mengenai etika penggunaan teknologi AI dalam operasi ketenteraan, khususnya berkaitan tahap kebergantungan kepada sistem automasi dalam situasi peperangan.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat AI Anthropic sebelum ini dilaporkan mengehadkan penggunaan model AI mereka bagi tujuan ketenteraan oleh Amerika Syarikat, mencerminkan kebimbangan sektor teknologi terhadap implikasi penggunaan AI dalam konflik bersenjata.

 

Must Watch Video

Advertisement