Ketika dunia sedang dilanda wabak koronavirus, lain pula kekecohan yang berlaku di Bali, Indonesia.

Dianggarkan lebih 1,000 ekor babi di kawasan itu dilaporkan mati secara misteri, ekoran penyakit yang masih belum dikenal pasti.

Menurut pihak berkuasa tempatan, para peladang haiwan terbabit di situ mendakwa kejadian itu berlaku mungkin disebabkan oleh penularan Demam Babi Afrika (ASF).

Lapor portal berita Jakarta Post, secara keseluruhan, hampir 50,000 babi telah mati di seluruh utara Sumatera sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, punca kejadian itu masih belum dikenal pasti dan disahkan sehingga keputusan ujian makmal diperolehi.

Menurut Agensi Pertanian dan Makanan Keselamatan Bali, sekurang-kurangnya 888 babi mati akibat penyakit itu dalam tempoh dua bulan lalu..

Sebanyak tujuh daerah yang terkesan dengan wabak misteri itu dengan daerah Bandung mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 598 kematian babi, diikuti Tabanan (219), Denpasar (45), Gianyar (24), Bangli (1) dan Karangasem (1).

Ketua ketua Pusat Penyelidikan Veterinar Denpasar, Wayan Masa Tenaya berkata sampel darah dari babi yang mati telah dihantar ke Pusat Penyelidikan Veteriner di Medan, Sumatera Utara untuk proses siasatan.

Jelasnya, hanya ada tiga penyakit yang biasa dikaitkan dengan haiwan ternakan iaitu septikemia epizootica, babi kolera dan streptococcus suis.

“Pihak makmal di Medan mempunyai banyak peralatan dan lebih berpengalaman untuk mengesan penyakit itu,” kata Masa Tenaya.

Walaupun masih belum dipastikan, Ketua Pertubuhan Penternak Babi Bali(GUPBI) Ketut Hari Suyasa berkata kejadian itu berkait rapat dengan ASF.

“Semua babi yang terkesan mempunyai simptom yang sama.

“Bagaimanapun, kami mengesyaki ia adalah Demam Babi Afrika (ASF), walaupun kesemua babi itu telah divaksinkan,” katanya.

Tambah beliau, persatuan itu akan berusaha sebaik mungkin untuk mencegah penyebaran penyakit itu.

“Setakat ini, kami masih belum mendapat keputusan makmal. Apa yang penting adalah kerja-kerja mengawal penyakit itu daripada terus menular,” katanya.