PARIS: Perdana Menteri Perancis Sebastien Lecornu, memanggil satu mesyuarat krisis pada Khamis susulan protes pelajar yang semakin meluas berhubung keadaan sekolah di seluruh negara dan dalam beberapa kes bertukar ganas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beberapa menteri dijangka membincangkan situasi di sekolah menengah Perancis selepas beberapa hari protes yang menuntut peruntukan lebih besar serta penambahan kakitangan.
Lebih 600 orang ditahan pada Rabu sahaja atas dakwaan termasuk melakukan pembakaran dan menyerang anggota polis.
Protes itu merebak ke universiti pada pagi Khamis, dengan sekatan dilaporkan berlaku di kira-kira 30 kampus, menurut kesatuan pelajar Union Etudiante.
Di tempat lain pada Khamis, ramai pelajar sekolah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah bangunan sekolah yang daif, bilik darjah yang terlalu sesak dan kekurangan guru manakala keganasan serta vandalisme dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain.
Tong sampah dibakar dan mercun dibaling manakala ruang masuk sebuah sekolah menengah di bandar Nantes, barat Perancis, turut dibakar.
Media turut melaporkan serangan terhadap bas dan perhentian bas. Polis menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan di beberapa lokasi.
--BERNAMA-dpa