Skip to main content

Dunia

Permohonan tolak sertai perkhidmatan tentera di Jerman meningkat

Lonjakan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang memuncak dan undang-undang perkhidmatan tentera baharu Jerman. - Gambar fail
Lonjakan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang memuncak dan undang-undang perkhidmatan tentera baharu Jerman. - Gambar fail

Advertisement

BERLIN: Bilangan permohonan untuk menolak perkhidmatan tentera di Jerman meningkat dengan ketara, dengan lebih 12,000 dikemukakan dalam lapan bulan pertama tahun ini, menurut angka Pejabat Persekutuan bagi Hal Ehwal Keluarga dan Fungsi Masyarakat Sivil (BAFzA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebanyak 12,102 permohonan diterima antara Januari dan akhir Ogos, kumpulan media Funke dan kumpulan media RND melaporkan, memetik jurucakap agensi.

Angka itu lebih tiga kali ganda berbanding 3,879 permohonan yang difailkan sepanjang 2025. Jumlah tersebut juga meningkat mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini iaitu lebih dua kali ganda berbanding 5,862 pada akhir Jun.

Lonjakan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang memuncak dan undang-undang perkhidmatan tentera baharu Jerman, yang berkuat kuasa pada 1 Jan.

Pada terasnya ialah pemeriksaan perubatan mandatori untuk lelaki muda yang dilahirkan pada 2008 atau kemudian, bertujuan untuk merekrut sukarelawan bagi mengembangkan kekuatan tentera. Jika sasaran pengambilan tidak tercapai, parlimen boleh memutuskan untuk memperkenalkan kerahan tenaga berasaskan keperluan.

Perkhidmatan ketenteraan wajib telah digantung sejak 2011 namun kekal termaktub dalam Undang-Undang Asas Jerman. Hak untuk menolak perkhidmatan tentera bersenjata atas dasar hati nurani juga kekal.

Menurut agensi itu, pihaknya menemukan bilangan permohonan dengan kesalahan yang tinggi, yang tidak dapat diterima dan terpaksa dikembalikan tanpa diproses.

Hal itu katanya susulan maklumat salah yang berulang termasuk di media sosial, mengenai cara permohonan harus diserahkan dan perkara yang mesti terkandung di dalamnya.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement