DUNIA
Peru tidak akan hantar warga asing diusir dari AS ke penjara - Menteri Kehakiman

Juan Alcantara Medrano, Menteri Kehakiman Peru. - Foto Facebook Alcantara
MOSCOW: Peru tidak akan menghantar rakyat negara ketiga yang diusir dari Amerika Syarikat (AS) ke penjara di negara itu, kata Menteri Kehakiman Peru Juan Alcantara Medrano, ketika Washington terus berusaha memujuk beberapa negara menerima migran tanpa dokumen, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Adalah tidak produktif bagi kami untuk menerima warga negara lain yang telah diusir atau melakukan jenayah ke negara kami. Kemungkinan itu tidak wujud kerana ia tidak diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada," kata Alcantara seperti dipetik kementeriannya.
Beliau menjelaskan bahawa mengikut peraturan ekstradisi, Peru hanya boleh menerima rakyat Peru yang disabitkan kesalahan di luar negara untuk menjalani hukuman di negara asal dan mengusir warga asing yang melakukan jenayah di Peru.
Pada 25 Jun, The New York Times melaporkan, memetik dokumen kerajaan dan pegawai, bahawa AS telah menghubungi 58 negara untuk merundingkan perjanjian bagi membolehkan ia mengusir migran tanpa dokumen. Hanya tujuh negara telah bersetuju, manakala rundingan dengan negara lain masih berlangsung.Semasa majlis angkat sumpah pada 20 Januari, Presiden AS Donald Trump berjanji untuk segera menghentikan kemasukan migran tanpa dokumen ke AS dan mula menghantar pulang jutaan migran yang sudah berada di negara itu. Beliau juga mengisytiharkan darurat negara susulan krisis di sempadan selatan AS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami