Lima maut di California Selatan, Amerika Syarikat selepas sebuah pesawat kecil terhempas di atas sebuah rumah kediaman dua tingkat pada Ahad, menyebabkan kebakaran besar.

Lapor The Guardian, juruterbang dan empat penghuni rumah di Yorba Linda maut dalam tragedi berkenaan yang berlaku kira-kira 35 kilometer dari tenggara Los Angeles.

Menurut Syerif Cory Martino, dua lagi cedera dalam kejadian telah dibawa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan berkata pesawat jenis Cessna 414A itu terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang berdekatan.

Bahagian-bahagian pesawat dilaporkan bertaburan di tanah dan bumbung rumah.

Pada awal kejadian, penduduk kejiranan cuba melawan api yang marak dengan menggunakan hos air dari halaman kebun kediaman.

Seorang saksi sempat merakam kejadian berkenaan dari kamera papan pemukanya yang menunjukkan pesawat tersebut meletup di udara sebelum terhempas.