Skip to main content

Malaysia

Dua beradik maut selepas motosikal terbabas ketika pulang dari sekolah

Salah seorang mangsa maut selepas motosikal dinaiki kemalangan dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas pada Khamis. -Foto Sinar Harian
Salah seorang mangsa maut selepas motosikal dinaiki kemalangan dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas pada Khamis. -Foto Sinar Harian
Advertisement

PASIR MAS: Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Bechah, Tendong, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam, 10, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan, 6, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Sementara itu, abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, yang merupakan pelajar diploma di sebuah kolej, dilaporkan mengalami patah kaki dan sedang menerima rawatan di HRPZ II.

Advertisement

Ibu saudara mangsa, Noor Zuhanisya Mohd Noor, 35, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa ketiga-tiga anak saudaranya itu kira-kira 2.15 petang.

"Saya terus ke lokasi dan melihat Muhammad Saiful Haider sudah tiada.

Advertisement

"Manakala dua beradik lagi telah dibawa ke HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas pada Khamis.

Menurut beliau, Muhammad Saiful Haider merupakan anak ketiga daripada lima beradik manakala Muhammad Saiful Hayyan ialah anak keempat.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika Muhammad Saiful Haikal dalam perjalanan untuk mengambil Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1.

Beliau berkata Muhammad Saiful Hayyan turut dibawa bersama kerana ingin mengikut abang sulungnya itu.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, berkata beliau dikejutkan apabila motosikal yang dinaiki tiga beradik berkenaan merempuh kedainya.

"Hanya motosikal terbabas masuk ke dalam kedai manakala penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan, manakala seorang lagi tercampak ke dalam pagar rumah berhampiran," katanya.

Menurut Mohd Rosli, beliau kemudian mencari payung untuk melindungi mangsa yang terkena hujan.

"Saya menitis air mata melihat mereka bertiga berlumuran darah.

"Paling kritikal ialah Muhammad Saiful Haider yang tercampak ke dalam pagar rumah dan orang ramai sempat mengajarnya mengucap syahadah," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement