KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menyita 86 basikal elektrik bernilai lebih RM268,000 yang disyaki diimport tanpa kelulusan dalam serbuan di sembilan premis di Lembah Klang pada 27 hingga 30 Okt lepas.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata Ops Piawai E-Mobiliti 2026 itu dilaksanakan bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) bagi membanteras aktiviti penjualan basikal elektrik yang tidak mematuhi syarat pengimportan.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM268,279 termasuk duti dan cukai sebanyak RM56,701, manakala sembilan kertas siasatan dibuka dan sembilan wakil syarikat dipanggil bagi membantu siasatan.
"Hasil siasatan awal mendapati basikal elektrik berkenaan disyaki dibawa masuk ke Malaysia tanpa mematuhi syarat pengimportan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menyiasat kemungkinan basikal elektrik itu dibawa masuk dalam keadaan terlerai sebelum dipasang semula untuk dijual kepada pelanggan.
Wan Norizan, bagaimanapun, berkata kaedah pengimportan dan penjualan basikal elektrik itu menerusi platform dalam talian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Eksekutif Pengujian SIRIM Noor Azlie Ahmad berkata semua basikal elektrik yang disita itu tidak menjalani ujian berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan ciri keselamatan kenderaan berkenaan dipatuhi serta menjamin keselamatan pengguna.
Beliau berkata produk itu tertakluk pada larangan import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit import yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA