DUNIA
Pesawat Southwest Airlines terpaksa menjunam mendadak elak jet pejuang, dua kru cedera

Insiden membabitkan Penerbangan Southwest 1496 itu berlaku ketika pesawat berada di ruang kawalan trafik udara Los Angeles. - Gambar hiasan/ Reuters
DUA kru kabin cedera manakala penumpang panik apabila pesawat Southwest Airlines terpaksa menjunam secara mendadak selepas berlepas dari Burbank, California pada Jumaat, bagi mengelak kemungkinan perlanggaran dengan sebuah pesawat lain.
Ringkasan AI
- Pesawat Southwest Airlines menjunam secara mendadak selepas berlepas dari Burbank, California bagi mengelak kemungkinan perlanggaran dengan jet pejuang Hawker Hunter MK 58, menyebabkan dua kru cedera dan penumpang panik.
- Sistem pengelakan perlanggaran trafik (TCAS) mengeluarkan dua amaran, memaksa juruterbang melakukan pendakian dan penurunan pantas serta berpusing lebih 60 darjah dalam ruang kawalan trafik udara Los Angeles.
- Pesawat berjaya meneruskan penerbangan tanpa insiden lanjut walaupun suasana dalam kabin kelam-kabut dan ramai penumpang tercampak dari tempat duduk akibat pergerakan agresif pesawat.
Southwest Airlines menjelaskan dua amaran diterima daripada sistem pengelakan perlanggaran trafik (TCAS), memaksa juruterbang membuat pendakian dan penurunan pantas.
Sumber industri penerbangan memaklumkan kru pesawat pada mulanya diarahkan naik ke ketinggian 15,000 kaki, namun ketika mencapai 12,000 kaki, pengawal trafik udara mengubah arahan supaya mengekalkan ketinggian 14,000 kaki.
Tidak lama selepas itu, kru menerima arahan berpusing lebih 60 darjah sebelum sistem TCAS memberi amaran untuk mendaki dan kemudian menjunam.
Menurut rekod FAA, pesawat lain yang terlibat dikenal pasti sebagai jet pejuang Hawker Hunter MK 58 yang berdaftar di Delaware.
Seorang penumpang, Jimmy Dore berkata, pesawat 'menjunam secara agresif' sehingga ramai tercampak dari tempat duduk dan terhantuk ke siling.
Seorang lagi penumpang, Steve Ulasewicz memberitahu NBC Los Angeles bahawa pesawat mengalami penurunan ketara selama kira-kira dua saat sebelum menjunam selama lapan hingga 10 saat.
“Orang menjerit, suasana kelam-kabut, ramai sangka pesawat akan terhempas,” ujarnya.
Pesawat itu bagaimanapun berjaya meneruskan penerbangan tanpa insiden lanjut. - Sinar Harian/ Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami