VIENNA: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk memberi amaran pada Jumaat bahawa beliau bimbang satu lagi gelombang kekejaman bakal berlaku di Bandar El Obeid di Sudan, negara yang sedang dilanda perang saudara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Malapetaka hak asasi manusia sedang berlaku di Sudan," kata Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB itu di Geneva sebelum sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Badan itu mengadakan perbahasan tergempar mengenai situasi di El Obeid, ibu negeri Kordofan Utara.
Wilayah itu kini menjadi pusat pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan tentera kerajaan. Sejak kebelakangan ini, RSF dilaporkan mengumpulkan anggotanya di sekitar El Obeid.
Turk berkata, tahun lepas, sekurang-kurangnya 6,000 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari apabila RSF menawan Bandar El Fasher.
Beliau berkata, ketika itu, RSF dan kumpulan bersenjata sekutunya melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk pembunuhan beramai-ramai, keganasan seksual dan penyeksaan.
"Ini bukan satu latihan," kata Turk mengenai kemungkinan El Obeid ditawan, bandar yang dihuni lebih setengah juta penduduk. "Ini adalah amaran merah yang perlu diberi perhatian segera oleh ketua negara dan kerajaan di seluruh dunia."
Beliau menggesa pemimpin dunia agar melakukan segala yang termampu untuk menghalang berlakunya lebih banyak kekejaman.
Sementara itu, Duta Jerman ke PBB di Geneva, Antje Leendertse menegaskan yang penduduk El Obeid bukan sekadar angka sebaliknya terdiri daripada keluarga, kanak-kanak dan orang awam yang tidak menginginkan peperangan itu.
-- BERNAMA-dpa