PFIZER pada Selasa meminta pengawal selia Amerika Syarikat membenarkan suntikan penggalak vaksin COVID-19 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Langkah itu susulan wujud kebimbangan mengenai peningkatan penyebaran COVID-19 daripada aktiviti percutian dan perhimpunan yang kini dibenarkan.

Ketika ini, warga Amerika yang lebih tua dan kumpulan lain yang mempunyai risiko terdedah kepada virus itu, diberi akses kepada dos ketiga vaksin Pfizer dan BioNTech sejak September.

Bagaimanapun, Pentadbiran Makanan Dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) berkata, langkah itu akan diperluaskan kepada golongan lebih muda jika diperlukan.

Pfizer ketika ini sedang menyerahkan hasil awal kajian penggalak kepada 10,000 orang bagi membuktikan, bahawa sudah tiba masanya untuk mengembangkan lagi kempen dos penggalak.

Kajian baharu Pfizer menyimpulkan bahawa dos penggalak boleh memulihkan perlindungan terhadap jangkitan simptomatik kepada hampir 96%.

Kira-kira dua daripada setiap tiga orang dewasa yang menerima vaksin dijangka layak mengambil suntikan tambahan.