RIYADH: Perjanjian gencatan senjata baharu selama 72 jam ditandatangani antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), menurut Kementerian Luar Arab Saudi pada Sabtu.

Perjanjian itu akan dikuat kuasa pada 6 pagi waktu tempatan Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik kementerian itu dalam satu kenyataan bersama Amerika Syarikat.

Pihak terbabit akan mengelak daripada menggunakan pesawat perang dan dron, serangan artileri dan sebarang aktiviti bekalan ketenteraan semasa gencatan senjata, termasuk memudahkan usaha bantuan kemanusiaan.

Pertempuran antara pasukan tentera dan RSF telah berlanjutan sejak April.

Hampir 1,000 orang awam terbunuh manakala beribu-ribu lagi cedera dalam keganasan itu, menurut pegawai perubatan tempatan.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan lebih 2.2 juta orang hilang tempat tinggal akibat konflik semasa.

PBB memberi amaran pada Rabu bahawa serangan yang meningkat di Darfur boleh membawa kepada "jenayah kemanusiaan."

Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak musim luruh 2021, apabila tentera memecat kerajaan sementara dipimpin Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.

-- BERNAMA