WASHINGTON: Planet Marikh menjadi tempat pembuangan sampah peralatan dan kapal angkasa manusia sejak 50 tahun lalu.

Keadaan itu berlaku walaupun tiada manusia berjaya tiba di planet tersebut sehingga kini.

Setakat ini, manusia telah meninggalkan lebih 6,000 kilogram (kg) sampah di Marikh.

Felo penyelidik pasca doktoral dalam bidang robotik di West Virginia University, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan penjelajah dan orbiter yang dihantar ke Marikh dan mendapati terdapat tinggalan sampah buatan manusia seberat lebih 6,000kg.

Sampah itu termasuk peralatan yang dibuang ke planet tersebut dan kapal angkasa yang tidak aktif setelah ia terhempas di permukaan planet.

Ia juga melibatkan kapal angkasa tanpa juruterbang milik Kesatuan Soviet yang kini dibubarkan dan dikenali sebagai Rusia.

Kapal angkasa itu melakukan pendaratan sebelum terhempas pada tahun 1971.

Antara kenderaan penjelajah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang berada di Marikh ialah Opportunity yang aktif dari tahun 2004 hingga pertengahan 2018.

NASA ialah agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS). - Sinar Harian/Agensi