YALA: Sekumpulan penyerang bersenjatakan senjata api ala tentera melancarkan serangan di bahagian belakang Balai Polis Lam Mai di daerah Mueang Yala, di sini, jam 7 pagi waktu Thailand, hari ini.
Menurut jurucakap Markas Hadapan Wilayah 4, Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kawasan ladang getah dan belukar berhampiran sebagai perlindungan sebelum melepaskan tembakan ke arah balai polis berkenaan.
Beliau berkata anggota polis yang bertugas membalas tembakan bagi mempertahankan premis tersebut.
"Situasi berbalas tembakan itu mengakibatkan pertempuran senjata yang berlarutan selama beberapa minit sebelum penyerang melarikan diri dari lokasi kejadian.
"Keadaan berjaya dikawal pada kira-kira jam 07.57 pagi," katanya dalam kenyataan kepada Astro AWANI.
Laporan awal mengesahkan tiada anggota polis, orang awam, atau pelajar yang mengalami kecederaan atau terkorban.
Insiden tersebut bagaimanapun memberi kesan secara langsung kepada Sekolah Ban Phron yang terletak bertentangan dengan lokasi serangan.
"Memandangkan serangan berlaku pada waktu murid-murid tiba di sekolah pada sebelah pagi, pihak pentadbiran sekolah segera mengarahkan pemindahan semua murid dan menamatkan sesi persekolahan bagi hari tersebut demi menjamin keselamatan.
"Murid-murid yang berada di asrama dipindahkan ke Zon Selamat yang dikhaskan di dalam kawasan sekolah, manakala guru serta kakitangan sekolah mengiringi murid-murid lain dengan selamat untuk diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing," katanya.
Susulan kejadian, pasukan keselamatan, Unit Pemusnah Bahan Letupan (EOD), Pusat Sains Forensik Wilayah Yala 10, dan anggota penyelamat telah menjalankan pemeriksaan forensik, menganalisis trajektori peluru, mengumpul bukti fizikal, serta menilai kerosakan akibat serangan tersebut.
Sementara itu, Polis Wilayah Yala mengarahkan tahap keselamatan dipertingkatkan termasuk memperkukuh pemeriksaan di sekatan jalan raya, pusat pemeriksaan dan rondaan keselamatan di Yala serta kawasan berhampiran.
Pihak berkuasa turut mengarahkan siasatan dipercepatkan bagi mengenal pasti serta menahan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Wilayah sempadan selatan Thailand termasuk Yala, Pattani dan Narathiwat terus berdepan cabaran keselamatan susulan siri serangan bersenjata yang berlaku dari semasa ke semasa.