Skip to main content

Dunia

Presiden Lubnan gesa lanjutkan mandat pasukan pengaman PBB di selatan

51728921382_UNIFILlubnan.jpg
Kehadiran UNIFIL di selatan penting dalam pelbagai aspek dan membantu memastikan penduduk kekal di kampung serta bandar mereka, selain mengukuhkan kestabilan. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Isnin menggesa supaya mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilanjutkan, dengan menyifatkan kehadiran pasukan itu penting bagi kestabilan di selatan negara berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

“Kehadiran UNIFIL di selatan penting dalam pelbagai aspek dan membantu memastikan penduduk kekal di kampung serta bandar mereka, selain mengukuhkan kestabilan melalui kerjasama dan penyelarasan dengan tentera Lubnan,” kata Aoun ketika bertemu delegasi parlimen, menurut kenyataan pejabat presiden.

“Pilihan pertama kita ialah melanjutkan mandat UNIFIL,” katanya.

“Jika mandatnya tidak dilanjutkan, pilihan kedua ialah menerima pakai satu formula yang memastikan kehadiran berterusan pasukan antarabangsa di selatan, dalam rangka perundangan yang diperlukan.”

Aoun berkata pasukan berkenaan akan membantu menyokong kestabilan melalui kerjasama dengan tentera Lubnan.

Presiden Lubnan itu berkata Israel menolak kehadiran UNIFIL dan “telah mendesak ke arah itu sejak hampir setahun lepas”.

“Lubnan pula terus menuntut UNIFIL kekal,” katanya.

“Matlamat asasnya adalah untuk mencapai satu penyelesaian yang memastikan kehadiran antarabangsa berterusan di selatan, sama ada melalui lanjutan mandat UNIFIL atau melalui pasukan antarabangsa yang menyokongnya, dengan cara mengekalkan kestabilan serta memperkukuh peranan negara dan tentera Lubnan,” katanya.

UNIFIL ditempatkan sejak 1978 bagi memantau gencatan senjata di sepanjang sempadan Lubnan-Israel dan menyokong Angkatan Tentera Lubnan di selatan Lubnan. Mandatnya dijadualkan tamat pada 31 Disember 2026.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel berterusan sejak Israel melancarkan serangan maut ke atas Lubnan, meragut nyawa lebih 4,300 orang, mencederakan lebih 12,300 dan menyebabkan lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal sejak 2 Mac, menurut angka rasmi Lubnan.

-- BERNAMA-ANADOLU      

Must Watch Video

Advertisement