Skip to main content

Dunia

Presiden Lubnan kecam serangan terbaharu Israel di Nabatieh, gesa tindakan antarabangsa

Lebanese President Joseph Aoun gestures to journalists at the Presidential Palace, in Baabda, east of Beirut, Lebanon, Wednesday, May 21, 2025. (Photo: AP/Hassan Ammar)
Joseph Aoun menuduh Israel cuba mengganggu fungsi institusi Lubnan serta perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai. - Foto fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Ahad mengecam serangan terbaharu Israel ke atas bandar Nabatieh di selatan negara itu dan kawasan sekitarnya, sambil menyifatkan tindakan menyasarkan institusi kerajaan serta kemudahan kesihatan sebagai satu "peningkatan ketegangan yang berbahaya".

Dalam kenyataan yang disiarkan pejabat Presiden Lubnan menerusi platform X, Aoun berkata serangan itu mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam, merosakkan bangunan Kementerian Kewangan dengan teruk serta memusnahkan Hospital Ghandour, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau berkata serangan itu melangkaui pelanggaran berulang terhadap pengaturan pemberhentian permusuhan dan perjanjian rangka kerja apabila institusi kerajaan Lubnan, kemudahan perkhidmatan awam, sebuah hospital serta pusat kesihatan turut diserang.

Aoun berkata serangan ke atas bangunan Kementerian Kewangan itu, selepas serangan terdahulu ke atas sebuah pusat Keselamatan Negara yang mengakibatkan kematian, menunjukkan "corak berterusan" serangan yang bukan sahaja menyasarkan sasaran yang didakwa mempunyai kaitan ketenteraan, malah kemudahan kerajaan awam dan kesihatan.

Beliau menuduh Israel cuba mengganggu fungsi institusi Lubnan serta perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai.

Presiden Lubnan itu menyifatkan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap peningkatan ketegangan yang berterusan dan menggesa Amerika Syarikat (AS) serta masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan serangan serta memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Beliau berkata Lubnan kekal komited terhadap langkah yang bertujuan memelihara kedaulatannya, kestabilan di selatan negara itu serta keselamatan rakyatnya.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa siri serangan udara Israel ke atas Nabatieh dan kawasan sekitarnya pada Ahad mengorbankan empat orang dan mencederakan 20 yang lain, menurut angka awal Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kementerian itu memaklumkan serangan berkenaan memusnahkan Hospital Ghandour di Nabatieh al-Fawqa. Sebanyak 17 hospital di seluruh Lubnan mengalami kerosakan akibat serangan Israel sejak 2 Mac, manakala tiga hospital di selatan Lubnan tidak lagi dapat beroperasi.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement