LUSAKA: Presiden Madagascar, Michael Randrianirina memecat Perdana Menteri Herintsalama Rajaonarivelo dan seluruh barisan kabinet kerajaan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Setakat ini, pihak kepresidenan tidak memberikan sebarang alasan berhubung tindakan drastik itu.
Advertisement
Pengarah Komunikasi Kepresidenan, Harry Laurent Rahajason dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Antananarivo berkata: "Presiden akan melantik Perdana Menteri yang baharu dalam masa terdekat mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh perlembagaan."
Randrianirina mengambil alih tampuk kepimpinan negara kepulauan di Lautan Hindi itu susulan siri protes yang memaksa penyandangnya, Andry Rajoelina, meletak jawatan sebelum melarikan diri ke luar negara pada Oktober lepas.
Pada akhir Februari, Randrianirina memberi bayangan bahawa pilihan raya di bawah gagasan 'Pembentukan Semula Republik Madagascar' akan diadakan pada tahun 2027.
-- BERNAMA-ANADOLU