DUNIA
Presiden Xi sokong status Malaysia sebagai anggota penuh BRICS dipercepat - PM Anwar

Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Jinping di Great Hall of the People di Beijing pada Selasa. - Gambar Bernama
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping telah menyatakan sokongan penuh untuk menyegerakan status Malaysia sebagai anggota penuh forum kerjasama BRICS.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu merupakan satu manifestasi jelas dukungan China terhadap Malaysia untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia.
Beliau berkata, perkara itu telah dizahirkan oleh Xi, sewaktu menerima kunjungan hormatnya dan delegasi Malaysia di Beijing pada petang Selasa, sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke China bermula 31 Ogos lepas.
“Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.“Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur,” katanya.
Kunjungan hormat terhadap Presiden China itu merupakan kemuncak lawatan Anwar, dan berlangsung di Great Hall of the People, sebelum disusuli dengan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Li Qiang yang berlangsung di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di sebelah malam.
Dalam ucapan pembukaan sewaktu kunjungan hormat kepada Presiden Xi, Anwar berkata, beliau menzahirkan penghargaan kerana dijemput secara peribadi sebagai Tetamu Khas, sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus pada Isnin.
“Ia merupakan satu penghormatan yang besar kerana diberi peluang untuk menyertai perbincangan SCO, yang mana ia merupakan sesuatu perkara yang penting untuk Malaysia, selain sudah tentunya menyertai anda (Xi) esok.
“Kerana seperti yang saya sebutkan sebelum ini, perhimpunan esok bukan sahaja symbol penentangan (terhadap penjajahan), tetapi juga menyampaikan mesej keamanan, dan konsisten dengan Inisiatif Urustadbir Global (oleh China).
“Dan lawatan anda (ke Malaysia pada April) sangat baik, diterima baik oleh Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dan juga rakyat Malaysia. Dan kami di sini sudah tentu untuk mempercepatkan hubungan yang Istimewa, strategik, dan menyeluruh untuk menerajui dunia,” katanya.
Selain menyertai perbincangan di SCO Plus 2025, Perdana Menteri turut diundang menyaksikan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia di Dataran Tian'anmen, pada Rabu.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau turut menyokong usul dan idea yang digagaskan oleh Xi, khususnya Belt and Road Initiative (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia, serta Global Governance Initiative (GGI) yang dicetuskan dalam Sidang Kemuncak SCO kali ini.
“Ketika ini, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut. Nilai perdagangan dua hala tahun lalu mencecah AS$106 bilion, mencerminkan eratnya hubungan ini.
“Saya nyatakan kepada Presiden Xi akan komitmen Malaysia untuk memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E, aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami