Skip to main content
Advertisement

Dunia

Proses damai: Kerajaan Filipina-MILF sepakati kerangka pengurusan senjata

MILF FILIPINA
Fasilitator proses damai Malaysia, Zulkifli (tengah) bersama Pengerusi Panel Pelaksana Damai Kerajaan Filipina (GPH), Sarmiento (kiri) dan Pengerusi Panel Pelaksana Damai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher selepas pemeteraian kenyataan bersama Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina  dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mencapai persetujuan prinsip mengenai cadangan kerangka pengurusan senjata kecil dan ringan.

Persetujuan itu antara hasil utama Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF di Kuala Lumpur hari ini, yang difasilitasi Malaysia bagi meneruskan pelaksanaan Comprehensive Agreement on the Bangsamoro (CAB).

Menurut kenyataan bersama, kerangka itu antara lain mengambil kira pelucutan senjata kumpulan bersenjata persendirian serta proses penamatan penggunaan senjata dalam kalangan kombatan.

Kumpulan Kerja Teknikal berkaitan turut diarahkan memuktamadkan kerangka itu sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Normalisasi Bersama (JNC) untuk diperakukan dan seterusnya mendapat kelulusan kedua-dua panel.

Bagaimanapun, cadangan mengaktifkan semula Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) serta syor berkaitan usaha memastikan senjata tidak lagi digunakan kekal dalam agenda perbincangan kedua-dua pihak. 

Dalam pada itu, GPH dan MILF turut meluluskan terma rujukan bagi pembangunan pelan hala tuju pelaksanaan CAB dalam usaha menyelesaikan baki komitmen di bawah perjanjian damai berkenaan.

Pengerusi Panel Pelaksana Damai MILF, Mohagher Iqbal menyifatkan pertemuan di Kuala Lumpur itu sebagai satu pencapaian tersendiri selepas kedua-dua pihak tidak mengadakan mesyuarat seumpamanya di ibu negara Malaysia selama hampir sedekad.

“Mesyuarat itu sendiri merupakan satu pencapaian. Kali terakhir kami mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur di bawah fasilitasi Malaysia adalah pada tahun pertama pentadbiran bekas Presiden Rodrigo Duterte,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.

Menurut Mohagher, suasana pada awal pertemuan agak berhati-hati, namun berubah menjadi lebih mesra selepas kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan dalam beberapa perkara.

“Walaupun kami tidak bersetuju dalam beberapa isu, secara keseluruhannya kami mencapai persetujuan dalam banyak perkara,” katanya.

Ditanya mengenai pemeteraian Perjanjian Penamatan (Exit Agreement), Iqbal berkata tiada tempoh masa khusus ditetapkan kerana ia bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak terhadap komitmen di bawah CAB.

“Ia tidak terikat dengan tempoh masa. Ia boleh berlaku dalam masa terdekat atau kemudian, bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak terhadap komitmen masing-masing,” jelasnya. 

Menurutnya, pemeteraian perjanjian itu kelak akan menandakan berakhirnya proses rundingan GPH-MILF selepas CAB dilaksanakan secara substantif.

Image
MOHAGHER IQBAL, MILF
Walaupun kami tidak bersetuju dalam beberapa isu, secara keseluruhannya kami mencapai persetujuan dalam banyak perkara, ujar Mohagher.

Mesyuarat sehari yang bermula seawal 10 pagi di Grand Hyatt Kuala Lumpur itu memberi tumpuan kepada komitmen yang masih belum diselesaikan di bawah CAB yang dimeterai pada 2014.

Delegasi kerajaan Filipina diketuai Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Rekonsiliasi dan Perpaduan, Setiausaha Mel Senen Sarmiento, manakala panel MILF diketuai Iqbal.

Malaysia pula diwakili fasilitator proses damai, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, yang memegang peranan itu sejak 2023.

Mesyuarat berkenaan menyusuli pertemuan terakhir kedua-dua panel pelaksana damai di Davao City pada Ogos lalu.


 

Must Watch Video

Advertisement