PUTRAJAYA: Putera Monaco Putera Albert II akan memulakan lawatan negara pertamanya ke Malaysia dari 26 hingga 29 Nov dan dijadual merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Putera Albert II yang akan diiringi Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei serta pegawai-pegawai kanan dan delegasi perniagaan, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan.

"Antara program lawatan negara itu, termasuk Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Putera Albert II pada 27 November 2023," menurut kenyataan itu.

Putera Albert II juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan program-program pemuliharaan hidupan liar di Malaysia.

Dalam hal ini, Malaysia berharap untuk bekerjasama dengan Yayasan Putera Albert II Monaco.

"Lawatan Putera Albert II bakal memberi peluang terbaik bagi Malaysia dan Monaco memperkukuh hubungan kedua-dua negara dengan pelbagai prospek kerjasama masa hadapan yang disokong di peringkat tertinggi kepimpinan negara," menurut Wisma Putra.

-- BERNAMA