MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin mengakui, masalah bekalan bahan api telah menyebabkan kekurangan di beberapa wilayah negara itu, dengan satu pasukan petugas ditubuhkan bagi memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan berhubung bekalan dan pengedaran bahan api, sambil menegaskan keperluan mengambil langkah bagi mengurangkan kesan serangan dron Ukraine terhadap kemudahan minyak.
Putin turut mengakui, masalah itu masih memberi kesan kepada pengguna dan perniagaan, termasuk kewujudan barisan panjang di stesen minyak di beberapa kawasan.
Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah termasuk kemungkinan melaksanakan larangan penuh eksport diesel bagi memastikan bekalan domestik kekal mencukupi.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan menjamin bekalan bahan api kepada sektor pertanian, khususnya bagi memastikan kelancaran musim menuai.
Putin berkata, stok petrol negara kini digunakan dan dianggarkan sekitar 1.7 juta tan metrik, dengan pengeluaran pada Julai dijangka melebihi paras yang direkodkan pada Jun.
Beliau menambah, pasukan petugas berkaitan bekalan bahan api kini beroperasi sepanjang masa, sambil menegaskan situasi semasa memerlukan langkah sistemik yang sepadan dengan cabaran semasa bagi meningkatkan bekalan dan mengekalkan harga pada tahap munasabah. - Agensi