Skip to main content

Dunia

Putin seru UNSC diperluas, tingkat perwakilan selatan global

Russian President Vladimir Putin speaks to graduates from the Time of Heroes educational program for those who fought in Ukraine at the Kremlin in Moscow, Friday, May 22, 2026. (Sergei Bulkin, Sputnik, Kremlin Pool Photo via AP)
Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Rusia amat mementingkan usaha memelihara dan memperkukuh peranan utama PBB dalam hal ehwal global. - Gambar fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Sabtu menyeru supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diperluas bagi meningkatkan perwakilan negara dari Asia, Afrika dan Amerika Latin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Berucap pada Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di ibu negara India, New Delhi, Putin berkata Rusia amat mementingkan usaha memelihara dan memperkukuh peranan utama PBB dalam hal ehwal global serta percaya anggota BRICS perlu terus bekerjasama untuk meningkatkan keberkesanan organisasi itu.

“Sudah tentu, memperluas Majlis Keselamatan PBB -- khususnya dengan meningkatkan perwakilan negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin -- akan menyumbang kepada matlamat ini,” kata Putin, menurut transkrip Kremlin.

Putin turut berkata terdapat “keperluan yang telah lama wujud” untuk menambah baik institusi ekonomi global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang menurut beliau berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan “realiti politik dan ekonomi” semasa.

Beliau berkata IMF, WTO dan Bank Dunia kekal sebagai saluran penting bagi dialog antara ekonomi utama dunia serta menggesa penyelarasan lebih kukuh dalam kalangan negara BRICS dalam institusi berkenaan.

Mengenai BRICS, Putin berkata anggota blok itu memiliki keupayaan intelektual dan teknologi yang signifikan, sambil menyifatkannya sebagai kelebihan utama bagi perkumpulan itu.

Beliau berkata BRICS “sewajarnya telah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat utama tadbir urus global”, dengan menyatakan bahawa perkembangan dalam politik antarabangsa, keselamatan, kerjasama ekonomi dan hal ehwal kemanusiaan semakin bergantung pada keputusan kolektif anggotanya.

Putin berkata di tengah-tengah kemunculan orde dunia multipolar, negara BRICS perlu bekerjasama untuk memperkukuh multilateralisme, melibatkan lebih banyak negara dalam tadbir urus global dan meningkatkan penyertaan mereka dalam institusi antarabangsa utama.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement