BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, telah memberikan perkenan diraja terhadap barisan Jemaah Menteri baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, hari ini.
Pengumuman yang disiarkan menerusi Warta Diraja pada pagi Selasa itu mengesahkan pelantikan 35 anggota kabinet bagi penggal kedua Anutin selepas beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri pada 19 Mac lalu.
Advertisement
Kerajaan gabungan ini terus diterajui oleh Parti Bhumjaithai dengan sokongan padu daripada Parti Pheu Thai serta beberapa rakan kongsi politik yang lain.
Dalam senarai terbaharu itu, Anutin mengekalkan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri selain memimpin kerajaan sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut mengekalkan barisan ekonomi terasnya termasuk Ekniti Nitithanprapas sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan serta Suphajee Suthumpun bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan.
Beberapa pelantikan penting lain turut diumumkan termasuk Sihasak Phuangketkeow sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, manakala Akanat Promphan dilantik sebagai Menteri Tenaga bagi menggantikan Auttapol Rerkpiboon.
Langkah mengekalkan pasukan ekonomi ini dilihat sebagai usaha Anutin bagi memastikan kesinambungan dasar kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup serta kenaikan harga bahan api di negara berkenaan.
Susulan perkenan diraja tersebut, semua menteri dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn sebelum membentangkan kenyataan dasar kerajaan di Parlimen.
Sesi pembentangan dasar berkenaan dijangka akan berlangsung antara 7 hingga 9 April ini sebelum barisan pentadbiran baharu memulakan tugas secara rasmi.