ASSISI: Buat pertama kalinya dalam hampir setengah abad, rangka St Francis of Assisi, santo penaung Itali dan antara tokoh paling dihormati dalam Kristian, kini dipamerkan kepada umum bagi memperingati 800 tahun pemergiannya.
Pihak berkuasa Itali berkata kira-kira 400,000 pengunjung dari seluruh dunia telah membuat tempahan untuk melihat sendiri tulang-tulang santo itu di bandar Assisi, di wilayah Umbria.
Advertisement
Rangka St Francis, yang berasal dari abad ke-13, mula dipamerkan pada Ahad di Basilika St Francis of Assisi, sebuah lokasi yang diiktiraf sebagai tapak warisan rohani dan seni bina penting.
Ini merupakan kali kedua dalam sejarah tulang-tulang beliau dipertontonkan kepada umum.
Kali pertama adalah pada 1978, hanya untuk sehari dan kepada kumpulan terhad.
Pameran kali ini akan berlangsung sehingga 22 Mac.
St Francis dilahirkan di Assisi sekitar 1181 atau 1182 sebelum menolak kekayaan keluarganya dan memilih kehidupan zuhud.
Beliau kemudian menubuhkan Ordo Fransiskan, satu komuniti yang menekankan kesederhanaan, amal, dan khidmat kepada golongan miskin.
Beliau turut dikenali sebagai santo penaung haiwan dan alam sekitar, mencerminkan hubungan mendalamnya dengan alam semula jadi serta kehidupan penuh kesederhanaan.
Hari peringatannya, iaitu Hari St Francis, diraikan setiap tahun pada 4 Oktober, tarikh kematiannya pada 1226.
Pengaruh spiritual St Francis kekal meluas hingga ke era moden.
Pope Francis, yang meninggal dunia tahun lalu selepas lebih sedekad memimpin Gereja Katolik, memilih nama tersebut sebagai penghormatan kepada kesederhanaan dan kerendahan hati santo itu.
Pihak gereja tempatan menyifatkan pameran rangka ini sebagai detik sejarah dan peluang unik bagi umat Kristian serta pengunjung global untuk merenung kembali warisan St Francis yang terus memberi inspirasi selama lapan abad.