Ratusan pelarian dari El-Fasher tiba di utara Sudan dalam keadaan teruk

Rangkana Doktor Sudan turut memberi amaran bahawa bilangan pelarian dijangka meningkat mendadak dalam beberapa hari akan datang berikutan keadaan di Darfur yang terus merosot. - AP
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 642 orang yang melarikan diri daripada keganasan di El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan, telah tiba di Negeri Utara selepas menempuh perjalanan sukar dan berbahaya, lapor Anadolu Ajansi memetik Rangkaian Doktor Sudan.
Pertubuhan itu dalam hantaran di platform media sosial X pada Sabtu berkata keluarga yang dipindahkan itu melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di El-Fasher dan kini tiba di kawasan Al-Dabba.
Ia memberi amaran bahawa pelarian baharu itu kini hidup dalam keadaan kemanusiaan yang amat teruk, tanpa tempat perlindungan mencukupi, kekurangan makanan dan air bersih yang serius serta ketiadaan perkhidmatan kesihatan asas, terutama melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
"Keluarga itu kini berdepan cabaran hidup yang melampaui kemampuan komuniti tuan rumah untuk menanganinya," menurut kenyataan itu.
Pertubuhan itu turut memberi amaran bahawa bilangan pelarian dijangka meningkat mendadak dalam beberapa hari akan datang berikutan keadaan di Darfur yang terus merosot.
Ia merayu kepada pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan kemanusiaan di dalam serta luar Sudan supaya segera menyalurkan bantuan perubatan, makanan, tempat perlindungan dan sokongan psikologi bagi mengelakkan "kemerosotan sepenuhnya keadaan kemanusiaan."
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Jumaat memaklumkan bahawa lebih 62,000 orang telah kehilangan tempat tinggal dari El-Fasher dalam tempoh empat hari selepas RSF menguasai bandar itu.
El-Fasher jatuh ke tangan RSF awal minggu ini selepas terkepung selama beberapa bulan. Kumpulan hak asasi manusia menuduh pasukan separa tentera itu melakukan pembunuhan beramai-ramai, menahan orang awam dan menyerang hospital.
Sudan kini dilanda perang saudara antara tentera dan RSF sejak April 2023 yang mengakibatkan ribuan kematian serta jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


