BAITULMAQDIS: Tentera Israel terus bersikap biadab selepas menjatuhkan bom gas pemedih mata ke atas jemaah di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis ketika umat Islam menunaikan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Al Jazeera melaporkan beberapa media Palestin dan saksi berkata serangan dron tersebut bagi memaksa jemaah meninggalkan pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Ia adalah hari kedua berturut-turut tentera zionis itu melepaskan gas pemedih mata ke arah jemaah semasa Ramadan tahun ini.

Selain itu, Al Jazeera menambah tentera Israel turut dilihat memukul para jemaah dengan cota.

Sementara itu, Times of Israel melaporkan sekurang-kurangnya 16 individu ditangkap ketika solat Subuh di Masjid Al-aqsa.

Israel berkata, kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, wanita lebih 50 tahun dan lelaki berusia lebih 55 tahun akan dibenar solat di Masjid Al-Aqsa, jika mereka mempunyai permit yang sah.

Akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa menjadi titik pertikaian selepas Israel mengenakan kawalan yang lebih ketat di kawasan pekarangan masjid.

Tahun ini, Israel turut mengetatkan sekatan ke atas pergerakan rakyat Palestin dari Tebing Barat semasa bulan Ramadan.