BEIJING: Perkhidmatan kereta api China-Laos merekodkan aliran penumpang seramai 30.2 juta setakat 12 Mac, menurut China Railway.

Jumlah hantaran kargo yang dikendalikan menerusi rel itu pula mencatat 34.24 juta tan, antaranya lebih 7.8 juta tan adalah secara rentas sempadan.

Di segmen China, jumlah tren penumpang yang beroperasi setiap hari meningkat kepada 51 secara purata berbanding 35 pada peringkat awal, dengan hantaran penumpang harian mencatat sehingga 103,000.

Sementara itu, di segmen Laos, tren berkenaan bertambah daripada empat kepada 12, menyaksikan paras tertinggi aliran penumpang seramai 12,808 orang sehari.

Sejak 13 April 2023, rel China-Laos memperkenalkan perkhidmatan penumpang antarabangsa sekali gus memendekkan perjalanan di antara Kunming dan Vientiane kepada sehari.

Setakat ini, sebanyak 155,000 perjalanan melibatkan pengembara dari 87 buah negara dan wilayah dikendalikan melalui perkhidmatan berkenaan.

Menerusi mod pengangkutan baharu yang menggabungkan rel China-Laos dan rel kargo China-Eropah, masa penghantaran kargo di antara negara Asia Tenggara seperti Laos dan Thailand dengan negara-negara Eropah dipendekkan kepada 15 hari.

Barangan kargo yang dikendalikan melalui perkhidmatan rel China-Laos juga semakin bertambah, menyaksikan kategorinya meningkat kepada 2,900 jenis merangkumi elektronik, fotovolta, komunikasi dan automobil, berbanding hanya 10 jenis pada awal pembukaan.

Sementara itu, kos logistik Vientiane-Kunming turut menurun sebanyak 40 hingga 50 peratus berbanding tempoh sebelum rel berkenaan beroperasi.

-- BERNAMA