SEBUAH rakaman yang jarang didedahkan kepada umum menunjukkan Pyongyang menghukum dua remaja lelaki menjadi buruh paksa selama 12 tahun, gara-gara menonton drama Korea yang lebih sinonim dengan singkatan K-drama.

Klip itu dipercayai dirakamkan pada 2022 dan hukuman ke atas kedua-dua pesalah berusia 16 tahun itu dilakukan di hadapan ratusan pelajar di sebuah stadium terbuka.

Ia diserahkan kepada BBC oleh institut penyelidikan yang bekerjasama dengan pembelot dari Korea Utara iaitu South and North Development (Sand).

Rakaman itu diedarkan secara meluas di Pyongyang untuk tujuan ideologi pendidikan dan memberi amaran kepada rakyat mereka.

"Budaya rejim boneka Amerika Syarikat (AS) telah merebak dalam kalangan remaja di Korea Utara.

"Kedua-dua remaja itu telah merosakkan masa depan mereka sendiri," menurut narator yang merujuk kepada Seoul ketika mengulas tentang klip tersebut.

Difahamkan, tindakan tegas itu diambil setelah Korea Utara mengharamkan sebarang bentuk hiburan berkaitan Seoul termasuk televisyen.

Bagaimanapun, ada segelintir individu yang sanggup mengambil risiko untuk mendapatkan akses kepada drama Korea yang turut mempunyai jumlah penonton global yang besar.

Pada 2020, Pyongyang pernah menggubal undang-undang yang menetapkan tindakan menonton atau mengedarkan bahan hiburan Korea Selatan boleh dihukum mati. - Sinar Harian/ Agensi