Skip to main content

Dunia

Republikan yakin menang pilihan raya walaupun perang dengan Iran masih berterusan - Speaker Dewan AS

House Speaker Mike Johnson says the US 'can't trust the Iranians on the other side of the negotiating table' [File: Eric Lee/Reuters]
Johnson yang merupakan sekutu rapat Presiden Donald Trump berkata, pengundi memahami tindakan Washington terhadap Iran dan percaya langkah tersebut perlu diambil. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Johnson menyatakan keyakinan bahawa parti Republikan mampu mengekalkan penguasaan di dewan itu dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini, meskipun perang dengan Iran kekal tidak popular dalam kalangan rakyat.

Dalam temu bual bersama Fox News pada Ahad, Johnson ditanya sama ada Republikan masih boleh menang sekiranya konflik itu berlarutan sehingga hari pengundian pada 3 November.

"Sudah tentu," jawab beliau.

Bagaimanapun, Johnson mengakui, adalah lebih baik sekiranya konflik tersebut dapat diselesaikan sebelum pilihan raya diadakan.

"Ia akan membantu jika perkara itu dapat diselesaikan," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika rasa tidak puas hati rakyat terhadap perang semakin meningkat susulan lonjakan harga minyak, peningkatan inflasi dan pertambahan beban hutang negara di AS.

Johnson yang merupakan sekutu rapat Presiden Donald Trump berkata, pengundi memahami tindakan Washington terhadap Iran dan percaya langkah tersebut perlu diambil.

"Rakyat tahu kita telah memenggal kepala ular itu," katanya merujuk kepada Iran.

"Kita perlu memastikan penaja keganasan terbesar dunia tidak memiliki senjata nuklear."

Pentadbiran Trump mempertahankan tindakan ketenteraan terhadap Iran dengan alasan bagi menghalang negara itu daripada memperoleh bom nuklear, namun Tehran berulang kali menafikan dakwaan tersebut.

Malah, ketua perisikan AS sendiri sebelum ini memaklumkan kepada penggubal undang-undang bahawa tiada bukti menunjukkan Iran sedang menjalankan program pembangunan senjata nuklear.

Sokongan rakyat terus merosot

Walaupun Washington menegaskan perang itu perlu, pentadbiran Trump berdepan kesukaran mendapatkan sokongan rakyat terhadap konflik tersebut.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan, majoriti pengundi, termasuk sebahagian besar penyokong Republikan, mahu peperangan itu ditamatkan.

Konflik tercetus selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, beberapa pegawai kanan serta ratusan orang awam.

Sebagai tindak balas, Iran menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan terpenting dunia bagi perdagangan tenaga, selain melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap kepentingan AS di Asia Barat.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada April, beberapa siri serangan balas masih berlaku dalam tempoh berikutnya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, konflik dilihat semakin reda. 

Namun, Trump mengumumkan langkah ekonomi "menghancurkan" terhadap Tehran ketika masyarakat antarabangsa bersedia menghadapi sekatan lebih ketat ke atas Iran dan negara-negara yang berurusan dengannya.

Penutupan Selat Hormuz terus tekan pasaran tenaga

Iran pula kekal bertegas dan menegaskan tidak akan melepaskan kawalan ke atas Selat Hormuz.

Penutupan laluan strategik itu menyebabkan harga minyak dan gas melonjak di seluruh dunia, termasuk di AS yang menyaksikan harga petrol meningkat melebihi AS$4 segelen berbanding kurang AS$3 sebelum perang tercetus.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pegawai AS mendakwa, laluan perkapalan berkenaan masih beroperasi menerusi koridor selatan berhampiran pesisir Oman dan sejumlah besar minyak terus dihantar melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, harga petrol di AS masih kekal melebihi paras AS$4 segelen.

Johnson menegaskan, aliran penghantaran minyak melalui Selat Hormuz semakin meningkat dan menyifatkan usaha Washington sedang menunjukkan kemajuan.

"Kita menyelesaikan perkara ini langkah demi langkah," katanya.

"Anda tidak boleh mempercayai Iran di meja rundingan. Itulah cabarannya. Tetapi saya percaya negara-negara sekutu akan membantu dalam fasa seterusnya sehingga isu ini dapat diselesaikan." - Agensi

Must Watch Video

Advertisement