Skip to main content

Dunia

Ribuan dipindahkan di Perancis, gelombang haba cetus kebakaran hutan

A truck drives next to a fire as a firefighting plane (not pictured) flies to battle wildfire near the A9 motorway near Beziers, France, July 3, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Agensi kaji cuaca kebangsaan, Météo France, mengeluarkan amaran mengenai risiko tinggi kebakaran hutan pada Isnin. - Gambar/ Reuters
Advertisement

PARIS: Kira-kira 5,000 orang dipindahkan dari desa-desa di selatan Perancis pada Ahad ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan yang merebak dengan pantas dalam satu lagi insiden gelombang haba, menurut pihak berkuasa seperti dilaporkan Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Pihak berkuasa wilayah Pyrénées-Orientales menyatakan pengungsian itu dilakukan di kawasan pergunungan di sebelah barat bandar Perpignan.

Saluran penyiaran tempatan BFMTV melaporkan kawasan seluas 1,650 hektar musnah akibat kebakaran.

Seorang penduduk dan seorang anggota bomba dilaporkan mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Kebakaran menyebabkan perubahan pada peringkat ketiga perlumbaan Tour de France, yang dijadualkan melalui kawasan terjejas pada Isnin; perlumbaan itu kini akan berlangsung tanpa penonton atau konvoi pengiklanan.

"Kebakaran hutan berskala luar biasa yang sedang marak di Pyrénées-Orientales memerlukan pengerahan besar-besaran sumber pemadaman kebakaran hutan daripada perkhidmatan bomba, serta daripada pasukan keselamatan dalaman dan semua agensi kerajaan," kata Gabenor Wilayah Pierre Regnault de la Mothe.

"Sudah tentu, keutamaan utama dan tidak boleh dipersoalkan ialah perlindungan terhadap penduduk, harta benda dan kawasan semula jadi, serta usaha mengawal kebakaran tersebut."

Agensi kaji cuaca kebangsaan, Météo France, mengeluarkan amaran mengenai risiko tinggi kebakaran hutan pada Isnin, dengan menetapkan tahap amaran merah tertinggi bagi tujuh wilayah di bahagian tenggara negara itu.

Menurut agensi berkenaan, 41 wilayah lain turut berdepan risiko kebakaran hutan yang meningkat.

Kebakaran hutan dan kawasan tumbuhan juga telah berlaku di wilayah lain di Perancis, termasuk di wilayah Gard di bahagian selatan negara itu.

Di Lédenon, yang terletak di antara Avignon dan Nîmes, sebahagian daripada lebuh raya yang menghala ke Sepanyol terpaksa ditutup akibat kebakaran.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

Must Watch Video

Advertisement