Ringkasan AI
- Hujan lebat dan angin kencang melanda Pulau Crete, Greece, menyebabkan banjir, tanah runtuh dan gangguan jalan raya, dengan sekurang-kurangnya seorang maut.
- Seorang penggembala berusia 80 tahun ditemukan maut di Rethymno selepas dilaporkan hilang ketika menjaga ternakan akibat cuaca buruk.
- Amaran cuaca merah dikeluarkan dengan hujan dijangka berterusan, manakala operasi pemindahan dan bantuan dipergiatkan oleh pihak berkuasa tempatan.
ATHENS: Hujan lebat dan angin kencang melanda Pulau Crete di selatan Greece, mengakibatkan banjir, tanah runtuh serta gangguan di jalan raya, dengan sekurang-kurangnya seorang maut, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.
Seorang penggembala berusia 80 tahun ditemukan maut di kawasan Rethymno, tengah Crete, selepas dilaporkan hilang ketika menjaga ternakannya, lapor penyiar kebangsaan Greece, ERT.
Polis dan anggota bomba melancarkan operasi mencari selepas keluarganya melaporkan kehilangan itu.
Hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah di beberapa bahagian pulau itu manakala jalan raya dan bangunan dilanda banjir di Rethymno serta Heraklion, bandar terbesar dan pelabuhan utama di utara Crete.
Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Greece mengekalkan amaran cuaca “merah” bagi Crete, dengan jumlah hujan di sesetengah kawasan mencecah kira-kira 300 milimeter. Hujan lebat dijangka berterusan, khususnya di bahagian utara dan barat laut pulau berkenaan.
Angin kencang dari arah timur laut dengan kelajuan lapan hingga sembilan pada skala Beaufort turut dilaporkan di Laut Aegean, menyebabkan beberapa perkhidmatan feri terganggu.
Pasukan bomba Greece memperkukuh operasi mereka di Crete dengan mengerahkan bot penyelamat, kenderaan berantai serta peralatan mengepam bagi membantu operasi pemindahan, mengepam air dan membersihkan serpihan.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: Greece, Pulau Crete, hujan lebat, amaran cuaca merah