Skip to main content

Dunia

AS sahkan penempatan senjata di angkasa lepas buat kali pertama

[TB]_Outer Space_Adobe Stock
Washington secara rasmi mengesahkan buat kali pertama bahawa senjata telah ditempatkan di angkasa lepas untuk melindungi tentera AS dan sebagai tindak balas terhadap “ancaman yang semakin berkembang.” - Gambar hiasan/ Adobe Stock
Advertisement

WASHINGTON: Washington secara rasmi mengesahkan buat kali pertama bahawa senjata telah ditempatkan di angkasa lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Setiausaha Tentera Udara AS, Troy Meink berkata pada persidangan di negeri Maryland pada Isnin bahawa senjata itu diperlukan untuk melindungi tentera AS dan sebagai tindak balas terhadap “ancaman yang semakin berkembang.”

“Hari ini, kami terus memastikan bahawa kami sentiasa bersedia menghadapi cabaran daripada ancaman yang semakin berkembang, di mana sahaja ia wujud,” Meink dilaporkan berkata.

“Inilah sebabnya Amerika Syarikat kini mempunyai senjata kawalan angkasa lepas di orbit yang berupaya mempertahankan Angkatan Bersama daripada tindakan musuh.”

Meink tidak memberikan butiran mengenai senjata itu atau bila ia ditempatkan, namun tentera AS dipercayai mempunyai keupayaan untuk memusnahkan satelit musuh sekiranya ia digunakan untuk menyasarkan tentera atau satelit AS.

Pengumuman itu memberi tumpuan kepada Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (USSF), yang ditubuhkan pada 2019 di bawah Presiden Donald Trump dan Meink merupakan pegawai awam tertingginya.

Laman sesawang USSF menyenaraikan China dan Rusia, yang masing-masing sedang memperluas keupayaan ketenteraan mereka di angkasa lepas, sebagai ancaman. 

Menurut laman itu, Rusia menganggap angkasa lepas sebagai medan perang bagi konflik pada masa depan.

Pada Selasa, Kementerian Luar China menggesa AS menghentikan peningkatan keupayaan ketenteraannya di angkasa lepas. 

Jurucakap Guo Jiakun di Beijing berkata, China menolak usaha ketenteraan di angkasa lepas.

Pakar keselamatan memberi amaran bahawa orbit bumi boleh menjadi medan perang berikutan kebergantungan semakin tinggi angkatan tentera moden terhadap satelit bagi tujuan seperti navigasi, komunikasi dan peninjauan.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement