MANILA: Naib Presiden Filipina, Sara Duterte dijadual memberi keterangan pada Jumaat ini dalam perbicaraan pemecatan yang sedang berlangsung di Senat, ketika sabitan boleh menjejaskan cita-citanya untuk bertanding jawatan presiden pada pilihan raya 2028.
Perkara itu disahkan peguam bela beliau, Michael Poa pada Ahad.
Minggu lalu, Duterte memberitahu wartawan bahawa beliau sedang "bersedia menghadapi kemungkinan terburuk", namun menegaskan peletakan jawatan bukan pilihan.
"Jika keputusan bersalah dibuat, ia akan membawa pelbagai implikasi," katanya.
Menurut dokumen yang difailkan oleh pasukan peguamnya, Duterte akan hadir bagi "menafikan semua dakwaan dan tuduhan berniat jahat" yang dikemukakan terhadapnya.
Beliau sebelum ini hadir secara ringkas pada hari kedua prosiding Senat pada Julai lalu, apabila mengisytiharkan dirinya sebagai "berdarah tetapi tidak tewas".
Pasukan peguam Duterte memulakan pembelaan mereka awal bulan ini dalam perbicaraan berprofil tinggi itu dengan menangkis dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya.
Pihak pendakwa sebelum ini menggugurkan tiga daripada empat pertuduhan terhadap Duterte, sekali gus menjadikan tuduhan berhubung kekayaan luar biasa sebagai satu-satunya isu yang masih perlu diputuskan oleh senator yang bertindak sebagai hakim.
Duterte, anak kepada bekas Presiden Rodrigo Duterte yang kini turut berdepan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan usaha pemecatan terhadapnya sebagai bermotifkan politik.
Beliau yang bergandingan dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr dalam pilihan raya 2022, mengumumkan pada Februari lalu bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden pada pilihan raya 2028. - Agensi