YANGON: Angka korban akibat beberapa siri serangan udara yang dilancarkan tentera Myanmar dalam tempoh tiga hari dilaporkan meningkat kepada lebih 70 orang, termasuk kanak-kanak.
Serangan yang berlaku pada Khamis dan Sabtu itu menyasarkan lokasi majlis perkahwinan, sekolah serta kawasan perumahan di beberapa bahagian negara yang masih bergolak akibat konflik antara junta tentera dan kumpulan penentang.
Menurut pegawai tempatan, seramai 21 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh pada Sabtu apabila sebuah pesawat pejuang mengebom lokasi majlis perkahwinan di kampung Le Kyi Lone, Negeri Shan.
Lokasi berkenaan yang terletak di timur Myanmar berada berhampiran kem penempatan penduduk yang dipindahkan serta sebuah sekolah.
Pada hari sama di barat Myanmar, dua kawasan perumahan bersebelahan di bandar Mrauk-U, Negeri Rakhine turut menjadi sasaran serangan, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Mrauk-U berada di bawah kawalan kumpulan bersenjata etnik Arakan Army sejak Februari 2024.
Seorang pegawai kanan pasukan penyelamat, Wai Hun Aung yang tiba di lokasi kejadian berkata, angka korban dijangka terus meningkat.
“Sebahagian mayat tidak lagi dapat dikenal pasti atau dihitung kerana hancur berkecai. Kesemua mangsa adalah orang awam,” katanya.
Terdahulu pada petang Khamis, sebuah pesawat pejuang bersama serangan artileri dan dron dilaporkan menyerang sebuah kompleks yang menempatkan sekolah serta biara Buddha ketika satu upacara keagamaan berlangsung di tengah Myanmar.
Menurut kenyataan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), yang mengetuai gerakan penentangan terhadap pemerintahan tentera sejak rampasan kuasa 2021, serangan di kampung In Yone, wilayah Magway itu mengorbankan 20 orang awam termasuk guru dan kanak-kanak.
NUG turut memaklumkan, sembilan anggota pejuang pro-demokrasi terbunuh dalam serangan sama.
Kerajaan tentera tingkatkan operasi
Kerajaan yang disokong tentera dan mengambil alih pentadbiran pada April selepas pilihan raya yang mencetuskan kontroversi awal tahun ini dilaporkan meningkatkan serangan darat dan udara bagi merampas semula kawasan yang dikuasai kumpulan penentang.
Setakat ini, pihak berkuasa Myanmar belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan serangan berkenaan.
Sebelum ini, tentera Myanmar menuduh kumpulan penentang sebagai “pengganas” dan menegaskan mereka hanya menyasarkan sasaran yang sah dalam operasi ketenteraan.
Tentera Myanmar merupakan satu-satunya pasukan bersenjata di negara itu yang memiliki pesawat pejuang.
Siri serangan terbaharu itu berlaku seminggu selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan keputusan penting yang mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap minoriti Rohingya yang majoritinya beragama Islam dalam operasi ketenteraan di Negeri Rakhine pada 2017. - Agensi