Ringkasan AI
- IRGC melaporkan kapal tangki minyak meletup berhampiran Pulau Ghanam di Selat Hormuz akibat terkena periuk api laut, insiden ketiga dalam tempoh singkat.
- Selat Hormuz kekal berisiko tinggi dengan 17 kapal tangki terlibat insiden sejak 1 November, menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.
- Nilai mata wang Iran terus merosot akibat tekanan perang dan konflik serantau, manakala gabungan diketuai Arab Saudi memintas serangan Houthi ke barat negara itu.
TEHRAN: Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah lagi kapal tangki minyak meletup berhampiran Pulau Ghanam di Selat Hormuz pada petang Ahad selepas terlanggar periuk api laut, menjadikannya insiden ketiga seumpamanya dalam tempoh singkat.
Menurut IRGC, letupan itu berlaku di laluan perkapalan strategik berkenaan yang menjadi tumpuan dunia susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Terdahulu, Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC) memaklumkan tahap ancaman di Selat Hormuz kekal pada tahap serius, dengan 17 kapal tangki dilaporkan terkena serangan atau insiden keselamatan sejak 1 November.
Selat Hormuz merupakan laluan utama penghantaran minyak dunia, dan sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Dalam perkembangan berkaitan, tekanan perang yang berterusan turut menjejaskan ekonomi Iran apabila nilai mata wang negara itu terus merosot.
Kadar pertukaran rial Iran kini melepasi tiga juta rial bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS), mencerminkan masalah ekonomi yang semakin meruncing akibat kelemahan struktur dalaman serta konflik berterusan dengan AS dan Israel.
Sementara itu, ketegangan serantau turut melibatkan Yaman apabila gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi mendakwa berjaya memintas tiga peluru berpandu kruis dan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi.
Menurut gabungan itu, sasaran serangan berkenaan adalah kawasan barat Arab Saudi, namun semua ancaman berjaya dipatahkan tanpa sebarang laporan kerosakan atau korban.
Ketegangan yang berlarutan di Selat Hormuz dan serangan rentas sempadan di rantau itu meningkatkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maritim serta kemungkinan gangguan bekalan tenaga global.