Skip to main content

Sukan

Hamilton tidak sabar untuk akhiri musim Formula Satu

Lewis Hamilton mengakui tidak sabar untuk mengakhiri musim Formula Satu (F1) tahun ini selepas berdepan keletihan fizikal dan mental sepanjang kempen yang panjang. - Gambar Reuters
Lewis Hamilton mengakui tidak sabar untuk mengakhiri musim Formula Satu (F1) tahun ini selepas berdepan keletihan fizikal dan mental sepanjang kempen yang panjang. - Gambar Reuters
Advertisement

DOHA: Lewis Hamilton mengakui tidak sabar untuk mengakhiri musim Formula Satu (F1) tahun ini selepas berdepan keletihan fizikal dan mental sepanjang kempen yang panjang.

Pemandu Ferrari dan juara dunia tujuh kali itu meluahkan perasaannya selepas menamatkan Grand Prix Qatar di tempat keenam pada Ahad, perlumbaan kedua terakhir musim ini, dengan Ferrari mengesahkan kedudukan naib juara kategori pengeluar di belakang Mercedes.

Pemandu Britain berusia 41 tahun itu berkata, beliau turut berkongsi perasaan tersebut dengan ahli fisioterapinya yang sudah lama berkhidmat, Angela Cullen mengenai betapa beliau memerlukan tempoh rehat.

Advertisement

"Saya berkata, 'Ya Tuhan, saya tidak tahu bagaimana saya masih mampu melakukan ini,' dan dia menjawab, 'Saya masih ingat perlumbaan pertama kita di Australia dan kamu berkata perkara yang sama'," kata Hamilton.

Menurutnya, penghujung musim sentiasa menjadi tempoh yang paling mencabar dari segi fizikal.

Advertisement

"Setiap kali tiba di penghujung musim, anda kehilangan otot, berat badan menurun, tubuh menjadi terlalu letih dan sakit di seluruh badan. Ia benar-benar memenatkan.

"Saya sudah terlalu lama berada jauh dari rumah. Saya rindukan keluarga. Pada ketika ini, saya benar-benar tidak sabar untuk menamatkan musim ini.

"Saya tidak sabar menunggu Krismas dan menikmati malam di rumah, tidur di katil sendiri tanpa perlu memikirkan untuk bangun dan pergi bekerja," katanya.

Hamilton turut menyifatkan perlumbaan di Litar Lusail yang berlangsung di bawah limpahan cahaya lampu itu kurang mengujakan berikutan kekurangan aksi memotong.

Beliau menamatkan perlumbaan satu anak tangga di hadapan rakan sepasukan, Charles Leclerc, dengan kedua-dua pelumba diarahkan mengekalkan kedudukan masing-masing selepas beberapa insiden ketika perlumbaan sebelum ini.

"Kami hanya mempunyai satu matlamat hujung minggu ini iaitu memastikan kedudukan kedua dalam saingan pengeluar.

"Kami memerlukan mata tersebut. Tiada bezanya sama ada Charles di tempat keenam dan saya ketujuh atau sebaliknya. Yang penting kami memperoleh mata yang mencukupi untuk mempertahankan kedudukan itu.

"Dalam perlumbaan lalu, apabila kami cuba mencabar, hasilnya tidak begitu baik. Jadi mengapa perlu mengambil risiko hari ini?

"Mungkin minggu depan di Abu Dhabi kami boleh kembali berlumba dengan lebih kompetitif," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement