Skip to main content

Dunia

"Saya sangat ingin luahkan" - Camilla akui sukar rahsiakan diagnosis kanser Raja Charles

King Charles, Patron of the Royal Horticultural Society (RHS), and Queen Camilla arrive for a visit to the RHS Sandringham Flower Show, in Norfolk on July 22, 2026. Aaron Chown/Pool via REUTERS
Camilla berkata pengalaman melihat pesakit kanser bersama ahli keluarga di sisi ketika satu lawatan membuatkan beliau sedar kepentingan pusat sokongan seperti Maggie’s sebagai tempat untuk mereka bersandar. - Foto Reuters
Advertisement

LONDON: Ratu Britain, Camilla, buat pertama kali mendedahkan betapa sukar untuk beliau merahsiakan diagnosis kanser suaminya, Raja Charles, sebelum perkara itu diumumkan kepada umum pada Februari 2024.

Istana Buckingham pada Februari 2024 mengesahkan Raja Charles sedang menjalani rawatan bagi satu bentuk kanser yang tidak didedahkan.

Dalam video sempena ulang tahun ke-30 pusat sokongan kanser Maggie’s, Camilla berkata beliau hampir mendedahkan keadaan suaminya ketika mengunjungi pusat Maggie’s di sebuah hospital sekitar London, kira-kira seminggu sebelum pengumuman rasmi istana.

“Tiada siapa boleh berkata apa-apa pada ketika itu, ia agak sukar,” katanya kepada Ketua Eksekutif Maggie’s, Laura Lee dalam satu temu bual, pada Rabu.

Camilla berkata pengalaman melihat pesakit kanser bersama ahli keluarga di sisi ketika lawatan berkenaan membuatkan beliau sedar kepentingan pusat sokongan seperti Maggie’s sebagai tempat untuk mereka bersandar.

“Saya hampir mengatakan sesuatu tetapi, anda tahu, saya rasa ia bukan masanya.

"Saya melihat setiap orang yang sedang menderita dan semua hubungan mereka, ia membuatkan saya lebih menyedari betapa penting tempat sokongan seperti ini.

“Saya sangat ingin meluahkannya tetapi sudah tentu saya tidak boleh,” katanya.

Dalam video itu, Camilla turut berkongsi keadaan suaminya dan bagaimana Raja Charles memilih untuk terus bekerja sebagai cara menghadapi kanser.

“Lihat suami saya, tiada apa yang menghalangnya. Dia hanya berkata, ini cara saya akan menghadapinya,” kata beliau.

Istana Buckingham sebelum ini memaklumkan Raja Charles masih menerima rawatan, namun pada Disember lalu, baginda berkata diagnosis awal serta intervensi berkesan membolehkan perancangan rawatan dikurangkan.

Seterusnya, keterbukaan Raja Charles dan menantu perempuannya iaitu Puteri Wales, Kate Middleton, mengenai pengalaman mereka menjalani rawatan kanser memberi kesan positif kepada pesakit lain.

Menurut Lee, keterbukaan Raja Charles itu secara tidak langsung membantu orang lain lebih berani berkongsi pengalaman mereka berjuang melawan kanser.

Selain itu, pendedahan Camilla pula menunjukkan kepentingan sokongan kepada keluarga dan rakan pesakit kanser. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement