Sekolah rakyat kunci putus rantai kemiskinan - Prabowo

Presiden Prabowo menegaskan bahawa pembinaan sekolah rakyat merupakan langkah penting kerajaan dalam usaha memutuskan rantai kemiskinan dengan menyediakan akses pendidikan kepada keluarga berpendapatan rendah. - Gambar fail
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa pembinaan sekolah rakyat merupakan langkah penting kerajaan dalam usaha memutuskan rantai kemiskinan dengan menyediakan akses pendidikan kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Sekolah rakyat ini kita rancang untuk memotong rantai kemiskinan. Biasanya anak orang miskin akan terus hidup miskin. Kita mahu hentikan kitaran itu. Anak atau cucu daripada keluarga miskin tidak sepatutnya terus berada dalam kemiskinan.
" Kita mesti berani berubah, berani memutuskan rantai kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, Jakarta, pada Isnin.
Prabowo berkata, daripada sasaran 500 sekolah rakyat yang dirancang, sebanyak 166 sekolah telah mula beroperasi lebih awal daripada jadual asal.Setakat ini, sekolah-sekolah tersebut menampung 15,645 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya daripada golongan desil satu dan dua — kelompok masyarakat dengan pendapatan terendah.
Sebahagian besar daripada mereka sebelum ini tidak bersekolah dan hidup dalam keadaan serba kekurangan termasuk terpaksa bekerja membantu ibu bapa atau tinggal di jalanan.
Melalui program ini, kerajaan mahu memastikan anak-anak daripada keluarga miskin mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pelajaran dari peringkat rendah hingga menengah.
Konsep sekolah rakyat meliputi sekolah rendah (SD), menengah pertama (SMP), menengah atas (SMA), dan vokasional (SMK) dalam satu sistem bersepadu, dengan kapasiti sehingga 1,000 pelajar bagi setiap sekolah.
Prabowo berkata, apabila semua 500 sekolah rakyat siap dibina, program itu dijangka memberi akses pendidikan kepada sekitar 500,000 kanak-kanak miskin di seluruh Indonesia.
“Saya yakin 500 sekolah ini akan berdiri. Jika itu berlaku, kita akan membantu 500,000 rakyat miskin, termasuk yang sangat miskin. Konsep sekolah rakyat ini ialah satu sekolah untuk 1,000 pelajar — SD, SMP, SMA dan SMK,” ujar beliau. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami