Sekurang-kurangnya 113 militan terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera dalam operasi memerangi pengganas oleh pasukan keselamatan Afghanistan di beberapa wilayah bergolak, menurut Kementerian Pertahanan lapor agensi berita China Xinhua.

"Operasi pembersihan dijalankan pihak berkuasa keselamatan itu dilancarkan di beberapa wilayah berbeza dalam tempoh 24 jam menyebabkan 113 militan terbunuh dan 49 lagi cedera," kata kementerian dalam satu kenyataan.

Operasi di 17 daripada 34 wilayah di negara itu turut merampas senjata dan berjaya mematikan beberapa bom yang ditanam pihak militan.

Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Pertahanan tidak mendedahkan jumlah korban membabitkan pihak keselamatan.

Keganasan terus meningkat sejak pasukan keselamatan Afghanistan melancarkan operasi memerangi penjuang anti kerajaan sejak tentera asing berundur dari kawasan bergolak sejak dua tahun lepas.

Pada Khamis, lima anggota polis terbunuh dan lima lagi cedera dalam pertempuran dengan militan Taliban di daerah Tagab wilayah timur Kapisa.

-- BERNAMA