Skip to main content
Advertisement

Dunia

Sekurang-kurangnya seorang maut, 79 cedera akibat banjir di Libya

Sumber: X @Arab_Storms
Beberapa bahagian Libya kini berdepan cuaca tidak menentu, dengan hujan lebat dan ribut petir dilaporkan di beberapa kawasan. - Foto X/@Arab_Storms
Advertisement

TRIPOLI: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 79 lagi cedera selepas hujan lebat dan banjir kilat melanda bandar Mizdah, kira-kira 165 kilometer di selatan ibu negara Libya, Tripoli, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang pejalan kaki yang meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besar Mizdah, menurut saluran televisyen Libya Al-Masar.

Hujan lebat dan banjir kilat melanda Mizdah serta beberapa kawasan di barat dan tengah Libya sejak Khamis malam, menenggelamkan kawasan kediaman dan menyebabkan beberapa jalan utama ditutup.

Operasi menyelamat dan pemindahan penduduk sedang dijalankan.

Kerajaan Perpaduan Nasional pada pagi Jumaat mengarahkan Perkhidmatan Ambulans Udara memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di perbandaran Al-Shqaiqah, kira-kira 170 kilometer di selatan Tripoli.

Mereka yang memerlukan rawatan atau pemindahan turut dibawa ke kemudahan perubatan khusus.

Kerajaan juga mengarahkan perkhidmatan kecemasan meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan jangkaan hujan lebat dan banjir  yang berterusan di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk menjauhi kawasan lembah, kawasan rendah serta jalan yang ditenggelami air, selain mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.

Beberapa bahagian Libya kini berdepan cuaca tidak menentu, dengan hujan lebat dan ribut petir dilaporkan di beberapa kawasan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan turut memberi amaran mengenai aliran air berterusan di kawasan lembah serta risiko banjir kilat di kawasan rendah.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement