BANGKOK: Kira-kira 9,697 penduduk di Narathiwat dan Yala terjejas akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat berterusan yang melanda wilayah di selatan Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Chaiwat Junthirapong berkata sembilan daerah di Narathiwat yang terjejas ialah Waeng, Sukhirin, Chanae, Rangae, Sungai Padi, Si Sakhon, Cho Airong, Yingo dan Rueso.

Sementara itu, empat daerah di Yala yang terkesan akibat banjir itu ialah Thanto, Yaha, Bannang Sata dan Raman.

Beliau berkata di Narathiwat seramai 9,558 penduduk terjejas manakala di Yala seramai 139.

"Pejabat Pencegahan dan Pengurangan Bencana Negeri bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk menghantar pasukan ke kawasan yang dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat Trakul Totham melaporkan bahawa paras air di tiga sungai di Narathiwat - Sungai Golok, Sungai Sai Buri dan Bang Nara telah pun melimpah.

"Rangae, Yingo dan Rueso di wilayah Narathiwat yang paling terjejas teruk dengan rumah dan kawasan pertanian digenangi air, jalan raya tidak dapat dilalui dan beratus-ratus penduduk terpaksa berpindah," katanya.

Sementara itu, State Railway of Thailand mengumumkan bahawa 14 perkhidmatan kereta api ke dan dari stesen Sungai Kolok dihentikan buat sementara waktu.

"Laluan kereta api Yala-Sungai Kolok akan ditutup sehingga banjir surut dan kerja-kerja baik pulih selesai. Untuk penumpang yang terjejas oleh penutupan ini, perkhidmatan bas disediakan antara Yala dan Sungai Kolok," tambahnya.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata beliau telah mengarahkah Timbalan Menteri Dalam Negeri Kriang Kantinan untuk memantau usaha yang diambil untuk menangani masalah banjir di Narathiwat dan Yala.

Beliau meminta penduduk di kawasan yang terjejas untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta berpindah ke tempat yang selamat.

-- BERNAMA